MADA penyumbang utama padi negara
SHAH ALAM – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) optimis untuk terus menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran padi negara melalui pelbagai program yang telah, sedang dan akan dilaksanakan.
Pengerusinya, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, pada tahun 2011, MADA telah melaksanakan Projek Estet Padi di bawah program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) EPP 10 yang menyasarkan peningkatan hasil padi bagi setiap hektar kawasan sawah padi.
Menurutnya, kesinambungan program itu diteruskan dengan pelaksanaan Program Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) yang dimulakan pada tahun 2020 sebagai pemangkin kepada peningkatan hasil padi.
“Program ini menyasarkan penglibatan usahawan padi, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pihak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bagi mengusahakan sawah padi di dalam skala yang besar.
“Impak daripada usaha ini, sumbangan pengeluaran padi oleh kawasan Muda kepada negara telah meningkat kepada 43 peratus pada tahun 2020 berbanding 40 peratus pada pada tahun 2018. Sebagai rekod pada tahun 2020 purata hasil padi yang dikeluarkan adalah sebanyak 5.98 metrik tan per hektar dengan jumlah pengeluaran sebanyak 1.204 juta metrik tan bernilai RM1.87 billion,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, sebagai langkah ke hadapan melalui Rancangan Malaysia Ke-12, MADA akan memfokuskan kepada penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat 4.0 (IR4.0) seperti GIS untuk sistem membuat keputusan dan amaran awal, teknologi pertanian tepat bagi pengurusan ladang yang lebih efisien dan pembangunan peladang muda sebagai generasi pelapis.
“Dijangkakan purata pengeluaran hasil padi di Kawasan Muda dapat ditingkatkan kepada 6.50 metrik tan sehektar menjelang tahun 2025.
“MADA yakin langkah yang dirancang ini dapat meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan peladang sekali gus menjamin keselamatan pengeluaran makanan negara dengan dokongan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kerajaan Negeri Kedah dan Perlis,” katanya.
Sebelum ini, media tempatan menerbitkan artikel bertajuk Kedah hilang status Negeri Jelapang Padi jika makin banyak bendang yang dimajukan ‘hilang’ apabila seluas kira-kira 35,000 hektar kawasan sawah padi di negeri itu ditukar kepada pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan pada 31 Januari lalu.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/122077/BERITA/Nasional/MADA-penyumbang-utama-padi-negara
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf