MADA terima hampir separuh jumlah benih padi
ALOR SETAR: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sudah menerima 80,263 atau 48.8 peratus beg benih padi sah (BPS) daripada 164,602 BPS yang dipesan sehingga Selasa.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata aktiviti pengedaran BPS rancak dilaksanakan di peringkat lapangan oleh PPK MADA dengan sejumlah 63,365 beg atau 78.9 peratus telah diedarkan kepada pesawah.
“Kawasan tanaman padi asal MADA seluas 96,558 hektar memerlukan 13,518 tan BPS atau bersamaan dengan 675,906 beg untuk penanaman musim 2/2021.
“Baki kira-kira 511,000 lagi akan dipasarkan secara pasaran terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi , berkata proses menabur benih padi di kawasan MADA dibahagikan kepada tiga fasa yang bermula pada 15 September lalu bagi fasa satu dan tarikh akhir menabur pada 15 Oktober.
Katanya, fasa dua pula bermula pada 25 September lalu dan tarikh akhir menabur pada 25 Oktober manakala fasa tiga pula bermula pada 5 Oktober dan tarikh akhir menabur pada 4 November.
“Keperluan BPS untuk ketiga-tiga fasa penanaman ini juga berbeza dan bergantung kepada keluasan tanaman setiap fasa iaitu fasa satu (225,162 beg), fasa dua (212,618 beg) dan fasa tiga (238,162 beg),” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata penetapan jadual penanaman padi MADA adalah berdasarkan kepada beberapa faktor yang telah diambil kira termasuk ramalan sumber air sepanjang tahun iaitu membabitkan kuantiti air hujan di kawasan sawah, aliran masuk ke takungan empangan, aliran sungai dan penggunaan air saliran.
Katanya, antara faktor lain MADA turut mengambil kira ramalan pencapaian aktiviti penuaian musim yang lalu, kemampuan pengairan sedia ada, varieti dan tempoh matang padi serta mengambil kira masalah penyakit dan perosak.
“Tujuan utama jadual penanaman ini dikeluarkan adalah sebagai panduan kepada peladang bagi memastikan penanaman padi tidak berlaku secara serentak, penggunaan air secara optimum, mobilisasi jentera ladang serta mengurangkan serangan penyakit dan perosak.
“Jadual penanaman padi ini dikeluarkan setelah mendapat persetujuan bersama pemimpin peladang MADA melalui Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi MADA yang diadakan pada setiap musim tanaman,” katanya.
Beliau, berkata MADA juga sudah mengambil tindakan awal yang sewajarnya untuk memastikan aktiviti penanaman tidak tergendala.
Antara tindakan itu katanya, adalah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan perbincangan bersama pihak pengeluar BPS untuk kawasan Muda pada 18 Ogos dan 17 Oktober lalu.
“Selain itu, MADA turut mengadakan pemantauan berkala pembekalan BPS iaitu di peringkat pengeluar, pemborong, peringkat makmal Jabatan Pertanian Malaysia dan diperingkat PPK sendiri.
“MADA juga turut mengadakan perbincangan bersama pihak Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kedah,” katanya.